HAZIQ SAWAN..??

Pagi 14/3/2012 jam 6:10 pagi. Haziq mengeluarkan satu suara pelik di tempat tidur. Penulis memandang ke arahnya. Dia seakan-akan sudah terjaga dari tidur. Penulis biarkan dia, lagipun masih awal untuk kejutkannya, tambahan pula ayahnya masih di dalam bilik air. Penulis biarkan ia begitu untuk seketika agar dia boleh merehatkan badannya sebelum penulis kejutkan dia nanti.

Namun alangkah terkejutnya penulis apabila kali kedua melihatnya semula, dirinya sudah tidak sedarkan diri, mata terbeliak ke atas dan ada lelehan air liur sedikit di tepi bahagian mulutnya. Penulis lantas menjerit memanggil ibu penulis dan di situ penulis sudah tidak dapat mengawal perasaan lagi. Bibirnya pucat membiru, mulutnya terbuka dan tertutup tapi tidak mengigit, kedua-dua tanganya digenggam. Penulis berlari ke arah dapur memanggil suami penulis yang ketika itu sedang mandi sambil menangis. sementara Haziq, telah dipangku oleh ibu penulis dan dibacakan dengan ayatul Qursi, Surah Al-fatihah, Surah Al-Ikhlas,Surah AN-Nas, Surah Al-Alaq dan beberapa surah lagi. Tidak beberapa ketika, Haziq pun sedar dan mata tidak lagi terbeliak ke atas. Sesudah itu, dia terus tidur semula kerana keletihan.


Setelah Haziq bangun dari tidur, penulis dan suami penulis menghantar beliau ke hospital dan mendapat rawatan pesakit luar. Setelah 3 jam menunggu barulah tiba giliran Haziq dan pelbagai soalan yang diajukan oleh doktor tentang Haziq dan doktor tersebut membuat kesimpulan Haziq kemungkinan sawan dan telah menetapkan 3/4/2012 untuk temujanji dengan pakar. Doktor tersebut tidak memberikan apa-apa ubat kerana menurut beliau, ubat sawan perlu diberikan darpada pakar sahaja. Kami pulang dan mengharapkan perkara itu tidak berlaku lagi sebelum tiba tempoh 3/4/2012 tersebut. Setiap gerak geri Haziq kami perhatikan. Waktu malam penulis juga, penulis bacakan surah-surah yang penulis tahu untuk dijauhkan dari gangguan jin dan iblis di atas kepalanya sebelum Haziq tidur. Tidur penulis juga tidak lagi seindah malam-malam sebelum Haziq terkena sawan. Penulis sering berhati-hati dan sentiasa memegang tangannya sewaktu dia tidur untuk memudahkan penulis sama-sama terjaga jika apa-apa pergerakan yang Haziq lakukan.

Namun perkara yang tidak dingini  tersebut tetap terjadi dan pada 27/3/2012. Lebih kurang pukul 4:40 pagi. Semua orang di dalam rumah sedang enak dibuai mimpi termasuk penulis. Penulis bermimpi Haziq memangil-manggil nama penulis  “Ummi…. Ummi…”. Penulis lantas terjaga dari tidur dan terus berpaling ke arah Haziq. “Ya Allah..maha besar kuasamu.. KAU bawakan mimpi untuk mengejutkan hambamu”. Penulis bingkas bangun dan menjerit nama ibu penulis. Ketika itu, penulis tidak tahu beberapa lama Haziq dalam keadaan itu, mungkinkah sudah lama berkeadaan begitu kerana penulis sendiri sedang tidur. Perkara sama berulang, mata terbeliak ke atas, muka Haziq pucat, bibir membiru, ada lelehan air liur di bahagian tepi mulutnya. Satu rumah terjaga meluru ke arah bilik penulis. Ibu penulis seperti biasa membacakan ayat-ayat suci Al-Quran untuk menyedarkan Haziq. Sementara itu penulis bersama suami penulis terus bersiap untuk ke hospital. Haziq dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan lanjut.

Dua (2) hari di hospital, tidak ada perkara-perkara buruk berlaku. Haziq ceria macam budak-budak lain. Haziq keluar dari hospital setelah 2 hari bermalam di hospital. Waktu siang, Ummi yang  jaga. Waktu malam,  ayahnya mengambil tempat Ummi. Jam 6:30 pagi, Ummi pula yang datang menemani Haziq kerana ayahnya seorang guru dan agak sukar untuk mendapat pelepasan cuti.

Pulang dari hospital, doktor bekalkan ubat Epilim untuk Haziq. Apa yang penulis dapat perhatikan, Haziq agak agresif dan suka melawan cakap penulis tidak sebagaimana biasa. Sebelum ini Haziq seorang yang sangat pemalu dan tidak pernah berkasar. Mungkinkah kesan dari ubat Epilim tersebut?? Atau mungkinkah kesan dari sawan yang dihidapinya?? Waalahualam..

Penulis~ Risau ia berlarutan….. 😦